Iklan Terkini

Terbaik

Blog ini sangat

Isnin, 5 April 2010

Takziah buat Keluarga Din Beramboi.

KINI, tiada lagi gelak-tawa Mior Ahmad Fuad Mior Badri, apabila lelaki yang lebih dikenali sebagai Din Beramboi itu pergi meninggalkan kita semua buat selama-lama, setelah dia menghembuskan nafas terakhir pada jam 12.30 tengah malam, di Hospital Selayang, Jumaat lalu.

Sebelum itu, Din terlantar di pusat rawatan berkenaan selama empat hari akibat serangan demam denggi berdarah.
Pemergiannya tentu sekali meninggalkan ruang kosong yang begitu besar di dalam hidup ramai peminatnya, yang saban hari menunggu celoteh girang pelawak terkenal itu bersama Aznil Nawawi, mengendalikan Riuh Pagi Era
Peminatnya akan merindui gelagat Din dalam Drama Sebabak dan Sawancara, yang pernah menyaksikannya melakonkan pelbagai watak termasuk guru bahasa Inggeris dan Tok Mudim.

Bukan sekadar menghiburkan orang ramai apabila berada di pentas persembahan, mahupun konti Era, lelaki yang meninggal dunia pada usia 43 tahun itu turut gemar berlawak di luar waktu kerjanya. Sikap periangnya itu nyata menyenangkan hati rakan dan keluarga.

Bagi Aznil yang mengenali Din selama kira-kira 15 tahun, serta bersama-sama mempopularkan segmen Riuh Pagi Era sejak lebih setahun lalu, pemergian pelawak itu satu kehilangan yang amat besar pada industri seni hiburan tanah air. Lebih daripada sumbangannya pada dunia seni, Din juga dilihat sahabat yang berhati mulia.

"Din Beramboi yang saya kenali sejak 15 tahun lalu ialah rakan yang sangat suka menghulurkan pertolongan. Dia seorang insan yang suka mendahulukan kawan, sebelum dirinya sendiri. Begitu juga dia suka meletakkan senyuman pada wajah orang lain. Dia pernah berkata: "Muka sedih takkan dapat menyelesaikan masalah"," kata Aznil.
Berpegang kepada kata-kata itu, Din yang pernah bertugas di radio THR dan bergelar juri Raja Lawak sentiasa mencuba untuk menceriakan suasana, walaupun mungkin di lubuk hati, ada ketikanya dia turut berdepan tekanan.

Beberapa hari sebelum pemergiannya, Aznil turut mendoakan agar rakan paginya di konti akan sembuh dan kembali bertugas bersama-sama. Namun, Tuhan lebih menyayangi bapa kepada tiga cahaya mata itu, yang menjemputnya pulang ke rahmatullah pada hari yang cukup mulia.

Arwah yang berasal dari Sungai Besi, meninggalkan seorang isteri, Suhaini Che Man, 42, dan tiga anak, Nil Aina Adiba, 17, Mior Ahmad Shafiq, 12, dan Nir Ain, 3.

Merenung kembali kata-kata peminatnya, sebagaimana yang mereka coret di sebuah laman web, Din dilihat sebagai pencetus semula kemeriahan di stesen radio Era apabila bersekongkol dengan Aznil mengendalikan program berkenaan.

"Aku minat betul dengan Aznil dan Din Beramboi mengendalikan Era.fm. Gabungan mereka berdua cukup menjadi hingga menjadikan stesen Era kembali meriah dan gamat dengan lawak bersahaja mereka berdua," kata seorang peminat yang dikenali sebagai Tarzandesa.

Seorang peminat lain, Sazreena, pula berkata, dia sudah lama tidak mendengar radio apabila Khairil meninggalkan Era.

"Tapi sejak Din Beramboi jadi deejay, aku terjebak melayan Riuh Pagi dia orang. Din memang best! Lawaknya memang gila," kata Sazreena.

Banyak lagi komen positif yang dipaparkan di Internet, yang menunjukkan betapa dia begitu disukai dan mampu menghiburkan peminatnya. Maka tidak menghairankan apabila nama pengacara Wuhai Beramboi (astro Warna) dan segmen Kickstart rancangan Apa-Apa Aje (TV3) ini juga dicalonkan ke peringkat akhir dalam kategori Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009.

Buat kali pertama dicalonkan dalam anugerah itu, Din memang teruja dengan sokongan peminat. Malah, dia sendiri mengambil peluang berkempen di mana saja tempat yang boleh. Di konti, mahupun di luar tempat kerja, pelawak ini seronok memancing undi kerana ‘teringin’ untuk menang, seperti kata-katanya untuk peminat ketika mencatatkan sedikit coretan pada ruangan ‘Undi Jangan Tak Undi’ Berita Harian.

Coretan kelakarnya yang disiarkan pada 10 Februari berbunyi: "Aku gerenti menang tahun ini pada ABPBH 2009 pasal orang lain dah selalu menang! Muka itu-itu jugak! Tolong kasi rasa duit & award tu pulak, pada aku. ‘Ko ader’?"
Dia juga pernah melahirkan hasrat untuk membawa keluarganya sama-sama memeriahkan ABPBH 2009 di Genting Highlands, sempena malam kemuncak pada 4 April. Namun, Din seperti kita semua hanyalah manusia yang mampu merancang, sedangkan Tuhan yang menentukan.

Pastinya, sikap riang dan kelakarnya itu akan dirindui kita semua. Semoga rohnya kini ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.

1 ulasan:

  1. Takziah untuk keluarga din beramboi. Hilangnya sorang pelawak tanah air

    BalasPadam

anda dipersilakan buat kutukan..kutukan perlulah membina dan kutukan anda amat dihargai...

Label